Sunday, December 22, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO percepatkan akses vaksin mpox

    GENEVA, 13 SEPT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata hari ini bahawa mereka buat pertama kalinya memberikan kelulusan awal bagi vaksin mpox, langkah yang dijangka mempercepatkan akses vaksin tersebut bagi memerangi wabak yang sedang melanda Afrika.

    Pengumuman itu dibuat selepas ketibaan vaksin MVA-BN pertama di Republik Demokratik Congo (DRC), pusat wabak tersebut.

    “Kelulusan awal pertama vaksin terhadap mpox adalah langkah penting dalam perjuangan kami melawan penyakit ini, baik dalam konteks wabak semasa di Afrika, mahupun pada masa akan datang,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu kenyataan.

    “Kini kami memerlukan peningkatan segera dalam pemerolehan, derma dan pengeluaran bagi memastikan akses yang adil untuk vaksin di tempat yang paling memerlukannya untuk mencegah jangkitan, menghentikan penyebaran dan menyelamatkan nyawa.”

    Senarai kelulusan awal WHO digunakan untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk perubatan seperti vaksin, sekali gus membuka jalan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa lain untuk mendapatkannya.

    Seorang pekerja kesihatan merawat pesakit mpox, di pusat rawatan di Munigi, timur Congo, pada 19 Ogos. – AP

    Senarai itu juga digunakan oleh negara-negara berpendapatan rendah yang tidak mempunyai kemampuan untuk menjalankan penilaian mereka sendiri bagi mempercepatkan kelulusan pemerolehan.

    “Kelulusan awal WHO bagi vaksin MVA-BN akan membantu mempercepatkan perolehan berterusan vaksin mpox oleh kerajaan dan agensi antarabangsa di barisan hadapan kecemasan yang sedang berlaku di Afrika dan tempat lain,” kata Yukiko Nakatani, penolong ketua WHO yang bertanggungjawab dalam akses kepada ubat-ubatan dan produk kesihatan.

    Mpox, sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet, disebabkan oleh virus yang disebarkan kepada manusia oleh haiwan yang dijangkiti tetapi juga boleh disebarkan dari manusia ke manusia melalui sentuhan fizikal yang rapat.

    Ia menyebabkan demam, sakit otot dan lesi kulit yang besar seperti bisul, dan dalam beberapa kes boleh membawa maut.

    WHO mengisytiharkan kecemasan antarabangsa mengenai mpox bulan lalu, bimbang dengan lonjakan kes strain Clade 1b yang baharu di DRC yang merebak ke negara-negara jiran.

    DRC telah merekodkan hampir 22,000 kes dan 716 kematian yang berkaitan dengan virus tersebut sejak Januari.

    Setakat ini, sekitar 200,000 dos vaksin telah dihantar ke DRC oleh Kesatuan Eropah, di samping kira-kira 50,000 dari Amerika Syarikat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda