Saturday, May 3, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO pertahan piawaian ujian keselamatan vaksin

    GENEVA, 2 MEI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin berkata piawaian keselamatan tertinggi telah digunakan dalam pembangunan vaksin, selepas
    laporan mengenai rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengubah cara ujian.

    “Kami yakin dengan penilaian yang dijalankan terhadap vaksin,” kata Ketua Vaksin WHO, Kate O’Brien kepada wartawan di Geneva.

    “Keselamatan vaksin adalah berdasarkan pada piawaian yang amat tinggi.”

    O’Brien ditanya mengenai laporan Washington Post kelmarin yang menunjukkan Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr. berhasrat untuk mengubah cara vaksin diuji, memerlukan semua vaksin baharu menjalani ujian plasebo.

    Matlamat yang dilaporkan adalah untuk meningkatkan keselamatan dan ketelusan tetapi pakar perubatan memberi amaran tindakan sedemikian berpotensi mengehadkan akses kepada vaksin dan juga menjejaskan keyakinan vaksin.

    O’Brien menegaskan proses piawaian yang diiktiraf secara meluas untuk pembangunan vaksin sudah pun memerlukan ujian plasebo apabila membangunkan vaksin baharu sepenuhnya terhadap penyakit yang tidak mempunyai pilihan imunisasi.

    Namun dia memberi amaran vaksin sedia ada yang diubah misalnya untuk menampung strain baharu juga boleh dianggap sebagai vaksin baharu.

    “Dalam kes sedemikian, mungkin tidak beretika untuk memberi subjek ujian plasebo produk yang tidak berkesan menghalang penyakit bukannya vaksin untuk menyelamatkan nyawa yang sudah mempunyai lesen,” katanya.

    “Saya fikir bahagian penting dalam hal ini adalah kualiti ujian klinikal dan penilaian keselamatan ujian klinikal tersebut menjadi teras kepada semua pembangunan vaksin,” kata O’Brien. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda