Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO puji kejayaan kempen vaksinasi polio di Gaza

    GENEVA, 5 SEPT – Fasa pertama kempen vaksin polio berskala besar di Gaza telah berakhir dengan jayanya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin, menyediakan hampir 200,000 kanak-kanak di tengah wilayah Palestin dengan dos awal mereka.

    Dengan Gaza diliputi dengan runtuhan dan majoriti 2.4 juta penduduknya terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat serangan tentera Israel dan sering berlindung dalam keadaan yang sempit dan tidak bersih membuatkan penyakit tersebut telah merebak.

    Selepas kes polio pertama disahkan dalam 25 tahun, usaha vaksinasi besar-besaran bermula pada hari Ahad, dibantu oleh ‘jeda kemanusiaan’ setempat dalam pertempuran.

    Kempen tersebut bertujuan untuk memberi vaksin sepenuhnya kepada lebih 640,000 kanak-kanak di wilayah terkepung, yang musnah akibat peperangan selama hampir 11 bulan.

    Semasa fasa pertama kempen, yang dijalankan antara 1 dan 3 September lalu di tengah Gaza, lebih 187,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dicapai, kata WHO dalam satu kenyataan.

    Seorang kanak-kanak menerima vaksin polio di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada 5 September. – AFP

    “Kami berterima kasih atas dedikasi semua keluarga, pekerja kesihatan dan pemvaksin yang menjayakan sebahagian daripada kempen ini walaupun dalam keadaan teruk di Semenanjung Gaza,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform media sosial X.

    “Kami meminta jeda kemanusiaan terus dihormati. Kami terus menyeru untuk gencatan senjata,” katanya lagi.

    WHO telah menganggarkan bahawa vaksin akan diperlukan untuk hampir 157,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di tengah Gaza, tetapi mengakui bahawa itu adalah sesuatu yang dipandang remeh.

    Ia dikatakan disebabkan pergerakan penduduk ke arah tengah Gaza, dan liputan yang diperluaskan di kawasan di luar zon jeda kemanusiaan.

    Lebih 500 pasukan, terdiri daripada hampir 2,200 pekerja kesihatan dan penjangkau masyarakat, mengambil bahagian dalam kempen di tengah Gaza, dengan vaksinasi disediakan di 143 tapak tetap di seluruh kawasan itu. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda