Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO rayu bantuan AS$392 juta untuk Yaman

    DUBAI, 27 FEB – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam merayu bantuan berjumlah AS$392 juta menjelang persidangan penderma yang diketuai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva bagi mengelakkan ‘potensi keruntuhan’ sektor kesihatan di Yaman yang dilanda perang.

    Gesaan itu dibuat memandangkan negara itu berdepan salah satu tragedi kemanusiaan terburuk di dunia selepas perang saudara berlanjutan selama lapan tahun membabitkan pemberontak Huthi yang disokong Iran dan tentera kerajaan yang memperoleh sokongan Arab Saudi.

    Menurut WHO, hampir separuh daripada semua kemudahan kesihatan di Yaman hanya berfungsi sebahagiannya atau langsung tidak boleh digunakan kerana kekurangan kakitangan, dana, elektrik, ubat-ubatan, bekalan dan peralatan.

    “Yaman memerlukan sokongan segera untuk mengelakkan potensi keruntuhan sistem kesihatannya.

    “Pembiayaan baharu berjumlah AS$392 juta diperlukan untuk memastikan kemudahan kesihatan dapat terus menyediakan perkhidmatan kepada 12.9 juta penduduk di sini,” kata wakil agensi Yaman, Adham Abdel Moneim Ismail dalam satu kenyataan.

    Menurut Ismail, mereka yang memerlukan bantuan termasuk 540,000 kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun yang menghadapi kekurangan zat makanan akut yang teruk dengan mereka berdepan risiko kematian. – AFP

    Griffiths bercakap semasa siding media sebelum persidangan penderma untuk krisis kemanusiaan Yaman di Geneva kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda