COPENHAGEN, 30 OGOS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini berkata mereka bimbang dengan 236,000 kematian akibat COVID-19 di Eropah menjelang 1 Disember, meluahkan kekhuatiran mengenai kadar vaksinasi yang terbantut dan kurangnya langkah diambil di negara-negara miskin.
Amaran tersebut dibuat selepas dunia menyaksikan angka kematian melepasi 4.5 juta orang sejak pandemik bermula, menurut perkiraan AFP hari ini.
“Minggu lalu, terdapat peningkatan sebanyak 11 peratus dalam angka kematian di rantau ini, satu perangkaan menjangkakan 236,000 kematian di Eropah menjelang 1 Disember,” menurut pengarah WHO Eropah, Hans Kluge memberitahu wartawan.
Benua Eropah mencatatkan kira-kira 1.3 juta kematian akibat COVID-19 setakat ini. Dari 53 buah negara WHO Eropah, 33 melaporkan peningkatan ketara lebih 10 peratus dalam tempoh dua minggu, menurut Kluge.
Kadar jangkitan virus yang tinggi di seluruh benua ‘sangat membimbangkan, terutama kurangnya langkah vaksinasi yang diambil di beberapa buah negara’.
Kluge mengaitkan kadar peningkatan disebabkan oleh penularan varian Delta yang mudah berjangkit, langkah ‘pelonggaran sekatan yang terlalu mendadak’ dan peningkatan jumlah perjalanan pada musim panas. Sementara itu, separuh penduduk Eropah kini sudah mendapatkan vaksin lengkap, namun langkah pengagihan vaksin di rantau tersebut semakin perlahan, menurut Kluge.
“Dalam tempoh enam bulan kebelakangan, kadar pengagihan vaksin menurun 14 peratus, ini berpunca daripada kekurangan akses terhadap vaksin di beberapa buah negara dan kurangnya penerimaan vaksin di beberapa negara yang lain. Hanya enam peratus di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana di Eropah yang sudah mendapatkan vaksin lengkap, sementara beberapa buah negara hanya berjaya memberikan vaksin kepada seorang daripada 10 pegawai kesihatan profesional.
“Langkah terbantut dalam pemberian vaksin di rantau tersebut adalah kebimbangan serius,” kata Kluge, menyeru negara-negara untuk ‘meningkatkan penghasilan, berkongsi dos dan memperbaiki akses.”– AFP
