PHNOM PENH, 27 FEB – Risiko selesema burung H5N1 di Kemboja merebak kepada orang ramai kekal rendah meskipun dua kes virus itu pada manusia dikesan baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan dalam satu kenyataan lewat semalam.
Minggu lalu, negara Asia Tenggara itu mengesahkan dua jangkitan manusia bagi virus selesema burung H5N1, yang pertama sejak 2014, menurut kenyataan.
Ia menambah bahawa kes pertama melibatkan seorang budak perempuan berusia 11 tahun dari wilayah tenggara Prey Veng yang meninggal dunia akibat virus itu pada 22 Februari, bapanya, berusia 49 tahun diuji positif sehari selepas itu dan pada masa ini dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Rujukan Wilayah Prey Veng.
Tujuh yang lain, juga kontak rapat budak perempuan itu, diuji negatif virus H5N1, menurut kenyataan itu.
Hampir kesemua kes jangkitan H5N1 telah bersentuhan dengan haiwan hidup atau mati yang dijangkiti atau persekitaran dicemari virus H5N1, tambahnya.
“Berdasarkan bukti setakat ini, virus itu tidak menjangkiti manusia dengan mudah dan merebak dari manusia ke manusia lain adalah jarang,” menurut kenyataan itu.
“Berdasarkan maklumat sedia ada setakat ini, WHO menilai risiko kepada populasi umum dijangkiti virus ini adalah rendah.
Perwakilan WHO ke Kemboja, Li Ailan memuji tindakan pantas negara itu menangani wabak H5N1.” – Xinhua