Tuesday, October 22, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO sahkan Mesir bebas malaria

    GENEVA, 21 OKT – Mesir telah disahkan bebas malaria kelmarin, dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan pencapaian itu ‘benar-benar bersejarah’ dan hasil kerja hampir satu abad untuk memerangi penyakit itu.

    “Malaria telah wujud sejak tamadun Mesir itu sendiri, tetapi penyakit yang menghantui firaun kini menjadi sebahagian daripada sejarah dan bukan masa depannya,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.

    “Pengesahan Mesir sebagai bebas malaria adalah benar-benar bersejarah, dan menjadi bukti komitmen rakyat dan kerajaan Mesir untuk membebaskan diri mereka daripada bencana purba ini.”

    Di peringkat global, 44 negara dan satu wilayah kini telah disahkan bebas malaria.

    Pensijilan diberikan oleh WHO apabila sesebuah negara telah membuktikan bahawa rantaian penularan malaria asli oleh nyamuk Anopheles telah terputus di seluruh negara kira-kira selama tiga tahun berturut-turut yang lalu.

    Sebuah negara juga perlu menunjukkan keupayaan untuk mencegah pemulihan penularan.

    Malaria membunuh lebih daripada 600,000 orang setiap tahun, 95 peratus daripadanya di Afrika, menurut WHO.

    Terdapat 249 juta kes malaria yang direkodkan di seluruh dunia pada tahun 2022.

    Disebarkan oleh nyamuk, malaria kebanyakannya ditemui di negara tropika. Jangkitan itu disebabkan oleh parasit.

    “Menerima sijil penghapusan malaria hari ini bukanlah penamat perjalanan tetapi permulaan fasa baharu,” kata Menteri Kesihatan Mesir, Khaled Abdel Ghaffar.

    “Kami kini mesti bekerja tanpa henti dan berwaspada untuk mengekalkan pencapaian kami dengan mematuhi standard tertinggi untuk pengawasan, diagnosis dan rawatan.”

    WHO menyatakan bahawa usaha awal untuk mengurangkan hubungan manusia dan nyamuk di Mesir bermula pada 1920an apabila ia melarang penanaman padi dan tanaman pertanian berhampiran rumah. – AFP

    Gambar hiasan. – Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda