Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO saran dos penggalak untuk pesakit masalah imun

    GENEVA, 12 OKT – Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengesyorkan dos penggalak vaksin COVID-19 diberikan kepada  golongan yang mengalami masalah sistem imun lemah (keadaan sistem imun defektif) pada tahap sederhana dan teruk, lapor Xinhua.

    Selepas perbincangan empat hari pada minggu lalu, Kumpulan Pakar Strategi Penasihat Imunisasi WHO (SAGE) mengesyorkan agar kumpulan itu menerima dos ketiga menggunakan mana-mana vaksin dalam Senarai Penggunaan Kecemasan WHO kerana mereka “cen-derung untuk kurang menunjukkan tindak balas yang sepatutnya terhadap siri vaksinasi standard dan berisiko tinggi terkena penyakit COVID-19 yang teruk.”

    Sejak akhir September, beberapa vaksin COVID-19 telah disahkan oleh Penyenaraian Penggunaan Kecemasan WHO, termasuk Pfizer-BioNTech, Janssen, Moderna, Sinopharm, Sinovac, AstraZeneca, dan Covishield. SAGE mengatakan pihaknya juga telah mengkaji COVAXIN, yang dihasilkan oleh Bharat Biotech di India, dan cadangan dasar akan dikeluarkan setelah vaksin berkenaan diluluskan oleh Penyenaraian Penggunaan Kecemasan WHO.

    Menurut pakar WHO, dos ketiga vaksin virus tidak aktif Sinovac dan Sinopharm harus diberikan kepada mereka yang berusia lebih 60 tahun, kata pakar WHO. Sementara itu, penggunaan vaksin heterologi (atau virus hidup) untuk dos tambahan juga boleh disyorkan berdasarkan pertimbangan bekalan dan akses vaksin.

    “Semasa melaksanakan cadangan ini, negara-negara harus menyasarkan untuk memaksimumkan liputan dua dos kepada penduduk terlebih dahulu, dan kemudiannya memberikan dos ketiga, dimulakan dengan golongan paling berusia,” kata SAGE.

    WHO sebelumnya telah meminta moratorium global untuk dos penggalak COVID-19, untuk memastikan pengedaran vaksin yang lebih adil di seluruh dunia bagi membolehkan setiap negara memvaksin sekurang-kurangnya 40 peratus daripada penduduknya.

    Minggu lalu, WHO mengumumkan inisiatif untuk memvaksin 40 peratus penduduk setiap negara pada akhir 2021, dan 70 peratus pada pertengahan 2022. Langkah ini akan mengutamakan penghantaran vaksin ke negara berpendapatan rendah, terutamanya di Afrika. – Bernama

    Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengesyorkan dos penggalak vaksin COVID-19 diberikan kepada  golongan yang mengalami masalah sistem imun lemah. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda