GENEVA, 14 OKT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini menyeru agar langkah segera diambil untuk meningkatkan penjagaan penyakit neurologi, yang telah memberi kesan kepada lebih tiga bilion orang di seluruh dunia, sambil menegaskan banyak kes boleh dicegah atau dirawat jika perkhidmatan yang sesuai disediakan.
Menurut WHO, penyakit neurologi menjejaskan lebih 40 peratus populasi global, manakala gangguan ini meragut lebih 11 juta nyawa setiap tahun.
Sepuluh penyakit neurologi utama yang menyumbang kepada kematian dan hilang upaya termasuk strok, migrain, penyakit Alzheimer dan demensia lain, meningitis serta epilepsi idiopatik, berdasarkan data terkini dari 2021.
Namun, sekatan struktur, kewangan dan sosial menghambat kemajuan dalam menangani penyakit ini, manakala prasangka dan salah tanggapan menghalang orang ramai mendapatkan rawatan, menurut agensi kesihatan PBB itu.
“WHO menyeru tindakan global untuk mengutamakan kesihatan otak dan memperluas penjagaan neurologi,” katanya.

Hanya 63 negara mempunyai dasar mengenai gangguan neurologi, dan hanya 34 negara melaporkan memiliki dana khusus untuk tujuan ini.
“Dengan lebih satu daripada tiga orang di dunia hidup dengan keadaan yang menjejaskan otak mereka, kita mesti melakukan segala yang boleh untuk memperbaiki penjagaan kesihatan yang diperlukan,” kata Penolong Pengarah WHO, Jeremy Farrar.
“Banyak penyakit neurologi ini boleh dicegah atau dirawat dengan berkesan, namun perkhidmatan masih sukar dicapai oleh kebanyakan orang, terutamanya di kawasan luar bandar, di mana mereka sering menghadapi stigma, pengasingan sosial dan kesulitan kewangan.”
Laporan WHO mendapati negara berpendapatan rendah mempunyai lebih 80 kali kurang pakar neurologi berbanding negara berpendapatan tinggi.
“Kekurangan ini bermakna bagi ramai pesakit, diagnosis tepat pada masanya, rawatan dan penjagaan berterusan sesuatu yang mustahil dicapai,” kata agensi itu.
WHO menggesa negara-negara untuk menjadikan isu ini sebagai keutamaan melalui pelaburan berterusan, memperluas akses kepada penjagaan, mempromosikan kesihatan otak dan memperkukuh pemantauan untuk membantu membuat keputusan. – AFP

