KINSHASA, 28 FEB – Pihak berkuasa kesihatan Republik Demokratik Congo (DR Congo) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini menyiasat kematian dan penyakit misteri membabitkan Wilayah Equateur, dengan 1,096 orang jatuh sakit dan 60 dilaporkan maut.
Kejadian berlaku di zon kesihatan Basankusu, Wilayah Equateur, dengan 141 kes direkodkan minggu lalu.
Pada awal Februari, kawasan yang sama mencatatkan 158 kes dan 58 kematian, lapor Xinhua.
Pada Januari, zon kesihatan Bolomba di wilayah yang sama melaporkan 12 kes, termasuk lapan kematian, menurut kenyataan WHO semalam.
WHO mendedahkan bahawa pemantauan penyakit yang dipertingkatkan mengenal pasti 1,096 orang jatuh sakit serta 60 kematian di Basankusu dan Bolomba.
Pesakit menunjukkan simptom seperti demam, sakit kepala, sakit otot dan sendi, batuk, muntah, cirit-birit serta dalam beberapa kes, pendarahan hidung.
Pasukan tindak balas pantas negara, termasuk pakar kecemasan WHO dikerahkan ke kawasan terjejas bagi menyiasat punca wabak dan memberikan bantuan perubatan segera.
Ujian awal menolak kemungkinan jangkitan Ebola dan virus Marburg, sementara kira-kira separuh daripada sampel yang diuji didapati positif Malaria.
Analisis lanjut sedang dijalankan bagi mengesan jangkitan lain seperti meningitis, serta kemungkinan pencemaran persekitaran, menurut WHO. – Bernama
