MOSCOW, 21 OKT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan penilaian awal vaksin COVID-19 Sputnik V keluaran Rusia kini sudah di fasa akhir.
Sepasukan pegawai pemeriksa akan ke Rusia dalam masa terdekat, lapor Sputnik memetik Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF), kelmarin.
“@WHO mengesahkan proses pra-kelayakan Sputnik V berada di landasan yang tepat dan kini sudah memasuki fasa akhir.
“Sekumpulan pegawai pemeriksa WHO akan ke Rusia dalam masa terdekat untuk mengumpulkan semua hasil pemeriksaan & dokumen yang diperlukan mengenai #SputnikV, satu daripada vaksin paling selamat & berkesan di dunia,” memetik akaun Twitter Sputnik V.
Sputnik V diluluskan di 70 negara dengan jumlah penduduk empat bilion orang, melebihi 50 peratus daripada populasi dunia. – Bernama