GENEVA, 29 MEI – Syarikat tembakau sengaja menggunakan taktik ‘membunuh’ untuk menyasarkan kanak-kanak dan cuba mengumpan mereka untuk merokok, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
WHO berkata syarikat menjual rokok masih cuba sedaya upaya untuk menggalakkan orang muda untuk merokok – dan ia sesuatu yang disengajakan bahawa sebahagian besar perokok mula merokok sebelum mereka berusia 18 tahun.
Menjelang Hari Tanpa Tembakau pada Ahad, WHO mengatakan 44 juta orang kanak-kanak berusia 13 hingga 15 tahun merokok, sementara lebih ramai pra-remaja mungkin menambah angka tersebut.
“WHO menyeru semua sektor untuk membantu menghentikan taktik pemasaran tembakau dan industri yang berkaitan yang menyasarkan kanak-kanak dan golongan muda,” menurut agensi kesihatan PBB.
“Taktik tersebut sangat kotor yang dilakukan olah industri tembakau,” kata Rudiger Krech, pengarah promosi kesihatan WHO.
“Di sesetengah negara yang tidak mempunyai peraturan, anda dapati produk tembakau dijual hampir dengan gula-gula di pasar raya,” katanya pada taklimat media maya.
“Anda mendapati ‘penasihat’ pergi ke sekolah-sekolah untuk mendidik kanak-kanak menggunakan tembakau elektronik; anda akan mendapatkan rokok percuma di negara-negara membangun.
“Mereka menyasarkan kanak-kanak dan golongan muda, 90 peratus perokok mula merokok sebelum berusia 18 tahun, dan ia disengajakan: ia bukan satu kesilapan,” katanya. – AFP