Friday, October 25, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO tangguh program vaksin polio di Gaza

    GENEVA, 24 OKT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata ia terpaksa menangguhkan fasa terakhir program vaksin polio di Gaza kelmarin kerana pengeboman dan keganasan yang semakin meningkat di utara.

    Pusingan kedua vaksinasi sepatutnya bermula di utara Semenanjung Gaza kelmarin, setelah selesai dilaksanakan di bahagian tengah dan selatan wilayah Palestin yang dikepung.

    Seorang pakar perubatan memberikan vaksin polio kepada kanak-kanak Palestin di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada 19 Oktober. – AFP

    Tetapi WHO menyatakan bahawa ia terpaksa menangguhkan kempen untuk memberi vaksin 119,279 kanak-kanak di utara Gaza. Israel melancarkan serangan udara dan darat yang besar di utara Gaza bulan ini, bertekad untuk menghalang pejuang Hamas daripada berkumpul semula di kawasan itu.

    Kempen itu ditangguhkan “disebabkan oleh keganasan yang semakin meningkat, pengeboman yang hebat, perintah pemindahan besar-besaran, dan kekurangan jeda kemanusiaan yang terjamin di sebahagian besar utara Gaza”, kata WHO.

    “Keadaan semasa, termasuk serangan berterusan terhadap infrastruktur awam, terus menjejaskan keselamatan dan pergerakan orang ramai di utara Gaza, menjadikannya mustahil untuk keluarga membawa anak-anak mereka untuk divaksin dengan selamat,” dan bagi pekerja kesihatan untuk beroperasi, tambahnya.

    Kempen vaksinasi dimulakan selepas Semenanjung Gaza mengesahkan kes pertama polio dalam tempoh 25 tahun. Peperangan itu telah meninggalkan kebanyakan kemudahan perubatan dan sistem pembentungan Gaza musnah.

    Virus polio biasanya merebak melalui pembentungan dan air yang tercemar, poliovirus sangat berjangkit. Ia boleh menyebabkan kecacatan dan lumpuh, dan berpotensi membawa maut, ter-utamanya menjejaskan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

    Seperti pada pusingan awal vaksinasi bulan lalu, pusingan kedua dibahagikan kepada tiga fasa, dibantu oleh jeda kemanusiaan yang terhad dalam pertikaian iaitu pertama di tengah Gaza, kemudian di selatan dan akhirnya di utara yang paling sukar dicapai. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda