Wednesday, July 23, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO terus berkhidmat di Gaza walau premis diserang

    HAMILTON, 23 JULAI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengecam serangan tentera Israel ke atas kediaman kakitangan dan gudang utama agensi itu di tengah Semenanjung Gaza, sambil menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan misi kemanusiaan di wilayah terkepung itu, lapor Anadolu Ajansi.

    Bercakap kepada media dalam sidang media secara maya, Wakil WHO ke wilayah Palestin yang diduduki, Dr Rik Peeperkorn berkata tentera Israel menyerang kediaman kakitangannya di Deir al Balah sebanyak tiga kali pada Isnin, termasuk gudang utama serta turut menahan kakitangan serta ahli keluarga mereka.

    “Serangan itu menjejaskan kediaman kakitangan, yang kini tidak lagi boleh diakses oleh 43 kakitangan dan ahli keluarga,” katanya.

    Gudang utama bekalan perubatan WHO dan terletak dalam zon pemindahan turut diserang dan mengalami kerosakan dan kebakaran akibat letupan, sambil Peeperkorn menyifatkannya sebagai sebahagian daripada corak pemusnahan sistematik terhadap kemudahan kesihatan.

    Beliau menegaskan bahawa koordinat semua premis WHO, termasuk kediaman kakitangan dan gudang telah dimaklumkan secara tetap dan jelas kepada pihak berkuasa Israel.

     “Saya langsung tidak faham mengapa Israel menyerang dan membakar bangunan yang menyimpan bekalan perubatan yang sangat diperlukan,” katanya.

    Walaupun berdepan serangan, Peeperkorn menegaskan WHO akan terus kekal berada di Gaza dan meluaskan operasinya.

    “Keberadaan WHO di sini kini lebih penting berbanding sebelum ini. Kami akan terus kekal dan melaksanakan misi kami,” katanya.

    Beliau turut menggesa pembebasan segera seorang kakitangan WHO yang ditahan semasa serangan dan menyeru negara anggota agar meningkatkan sokongan terhadap operasi kemanusiaan serta memastikan aliran bekalan perubatan yang berterusan. – Bernama/Anadolu

    Rakyat Palestin membawa sepanduk semasa demonstrasi kekurangan makanan dan keperluan lain yang teruk, di bandar Nablus, di Tebing Barat kelmarin. Premis WHO musnah diserang Israel. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda