Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO: Tiada lagi hospital beroperasi di utara Gaza

    ANKARA, 21 DIS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata hanya empat hospital beroperasi pada tahap minimum dan menawarkan perkhidmatan yang sangat terhad di utara Gaza, lapor agensi Anadolu.

    Misi WHO dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke utara Gaza mendapati Hospital Al-Ahli Arab kini hanya beroperasi separuh daripada perkhidmatan sebelumnya berikutan kekurangan bahan api, kakitangan dan bekalan, kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di X.

    WHO dan rakan PBB sekali lagi melaksanakan misi ke hospital Al-Ahli Arab dan hospital Al-Shifa di utara Gaza pada Rabu.

    Beliau berkata pasukan WHO dan PBB menyediakan ubat-ubatan, larutan IV dan bekalan untuk pembedahan, merawat orang yang cedera dan membantu wanita yang melahirkan anak.

    “Hospital Al-Ahli menerima ramai pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan. Di halaman hospital, terdapat mayat yang masih tidak dapat dikebumikan,” kata Ghebreyesus.

    Beliau berkata sehingga dua hari lepas, hanya Al-Ahli merupakan hospital terakhir di utara Gaza yang berfungsi dengan mereka yang cedera boleh menjalani pembedahan.

    Menurut maklumat yang diperoleh oleh pasukan WHO, dewan bedah Al-Ahli tidak lagi berfungsi kerana ‘kekurangan atau ketiadaan pakar, bekalan elektrik, bahan api, air, makanan dan bekalan perubatan.

    “Kini tiada lagi hospital yang beroperasi di utara Gaza,” katanya. – Bernama

    Penduduk membawa keluar jenazah ahli keluarga yang terbunuh semasa serangan Israel dari hospital EU di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda