LONDON, 14 MEI – Juara Olimpik lima kali dan pemenang Tour de France, Bradley Wiggins, mengakui pernah bergelut dengan ketagihan kokain selepas bersara daripada dunia lumba basikal dan menyatakan dirinya ‘bernasib baik masih hidup’.
Bekas pelumba Britain itu, yang kini berusia 45 tahun, berkata dia berhenti mengambil dadah setahun lalu, selepas anak-anaknya menyuarakan kebimbangan dan mahu menghantarnya ke pusat pemulihan kerana bimbang ketagihan itu akan meragut nyawanya.
Wiggins, yang memenangi Tour de France pada 2012, kini menjalani sesi terapi secara berkala dan berasa lebih tenang serta berdamai dengan dirinya sendiri.
“Ada masa anak lelaki saya fikir saya akan ditemui mati keesokan pagi. Saya penagih yang masih boleh berfungsi seperti biasa. Ramai tak sedar. Selama bertahun-tahun, saya sering dalam keadaan khayal,” katanya kepada The Observer.
“Saya sedar saya ada masalah besar. Saya perlu berhenti. Saya bersyukur masih hidup,” tambahnya.

“Saya mangsa pilihan saya sendiri selama bertahun-tahun. Saya penuh kebencian terhadap diri sendiri dan memburukkan lagi keadaan. Ia satu bentuk menyakiti diri dan sabotaj diri.
Ia bukan diri yang saya mahu. Saya sedar saya telah melukai ramai orang di sekeliling saya.”
Sejak bersara pada 2016, Wiggins pernah mendedahkan kisah silamnya termasuk konflik dengan bapanya serta pengalaman diasuh oleh jurulatih ketika zaman kanak-kanak.
Tahun lalu, dia turut diisytiharkan muflis. Menurut Cycling Weekly, bekas pelumba yang pernah dimalukan akibat skandal doping, Lance Armstrong, tampil membantu proses pemulihannya termasuk menawarkan untuk membayar kos terapi.
“Ketagihan saya adalah cara saya menenangkan kesakitan yang saya pendam selama ini.
Kini saya lebih memahami diri dan pencetus emosi saya. Saya lebih tenang dan itu satu pencapaian besar,” katanya. – AFP