Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Malam ini merupakan malam bertuah buat Pengiran Haji Mohamad Sufferizal bin Pengiran Haji Murzuki apabila diumumkan sebagai pemenang utama sebuah kereta Toyota Wigo tajaan NBT Brunei pada cabutan bertuah hari terakhir Pesta Pengguna ke-27 (CF27) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengarah Urusan NBT (Brunei) Sdn Bhd, Anderson Lim dan Pengurus Jualan NBT Gadong, Emily Chua. Pengiran Haji Mohammad Sufferizal semasa ditemu bual, tidak menyangka akan menang dan melahirkan rasa syukur serta berterima kasih kepada NBT Brunei atas hadiah yang dimenangi.
Manakala hadiah kedua telah dimenangi oleh Dayang Herzielah binti Mohd Herry yang membawa pulang sebuah kerusi urut tajaan Gintell Brunei dengan hadiah disampaikan oleh Pengurus Kawasan Gintell, Awang Zahari Yahya.
Dayang Nurulnasurah binti Shamsul pula memenangi hadiah ketiga berupa penapis air Xcel yang disampaikan oleh Pengarah Urusan D’ Sunlit Sdn Bhd.
Pameran sepanjang lima hari bertemakan ‘Bold and Curious’ itu telah menarik lebih daripada 120,000 pengunjung bermula 14 hingga 18 Jun.
Sepanjang pameran itu, orang ramai berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan setiap pembelian barangan di CF27.
Melalui tema itu juga, penganjur D’Sunlit Sdn Bhd mahu menjentik rasa keseronokan dan keberanian orang ramai ketika mereka mengunjungi pelbagai vendor yang tersedia di pameran itu.
Menurut D’Sunlit, CF27 telah menjadi hab rangkaian yang luas untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan dari dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang tahun dan juga rakan kongsi serta peserta dalam sama-sama menjayakan CF27 tahun ini.