LONDON, 25 JULAI – Pemain baharu Paris Saint-Germain (PSG), Georginio Wijnaldum (gambar) berkata bahawa kecaman di media sosial adalah punca utama mengapa dia meninggalkan Liverpool, menjelaskan bahawa dia ‘tidak merasa disayangi’ oleh sebahagian daripada peminat kelab tersebut.
Wijnaldum, yang menandatangani perjanjian bersama PSG secara percuma, berhijrah ke Liverpool pada 2016 dari Newcastle United.
Dia membuat lebih 200 penampilan dan berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sebelum meninggalkan kelab pada penghujung musim lalu.
Wijnaldum memberitahu The Times bahawa, “Setiap hari semasa latihan dan perlawanan saya memberikan segalanya.
“Liverpool sangat bermakna bagi saya. Tetapi ada beberapa ketika saya tidak merasa disayangi dan dihargai.
“Bukan oleh rakan sepasukan, bukan dari kalangan mereka di Melwood (pusat latihan Liverpool). Saya tahu mereka semua menyayangi saya dan saya menyayangi mereka. Tetapi bukan dari kalangan mereka, lebih kepada golongan yang lain.”
Wijnaldum turut menambah, “Ada kalanya saya merasa tidak disayangi. Dalam dua musim kebelakangan, saya merasainya beberapa kali.
“Peminat di stadium dan peminat di media sosial adalah dua peminat berbeza,” katanya. “Di stadium, saya tidak ada perkara buruk untuk diperkatakan. Mereka sentiasa menyokong saya.
“Di media sosial, jika kami tewas, saya yang sering dipersalahkan – (mendakwa) bahawa saya ingin meninggalkan kelab. Ada kalanya saya merasa seperti, ‘Wow, jika mereka mengetahui apa yang saya lakukan untuk kekal cergas dan bermain setiap perlawanan’”. – AFP