Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wijnaldum, Can pastikan 3 mata Reds

    LIVERPOOL, 13 Mac – Rembatan menakjubkan Emre Can telah memastikan Liverpool mendapat tiga mata dalam kemenangan 2-1 ke atas Burnley awal pagi tadi dan mengekalkan usaha mereka untuk layak bagi persaingan Liga Juara-Juara musim depan.

    Ashley Barnes, jaringan pertama kelabnya di Anfield sejak 1975, telah memberikan Burnley pendahuluan di awal permainan, hanya mendapati Georginio Wijnaldum menyamakan kedudukan di masa kecederaan separuh masa pertama.

    Dan Can membuat penyudah ketika perlawanan melepasi sejam bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Liverpool, meskipun ia satu persembahan yang jauh daripada meyakinkan oleh pasukan Jurgen Klopp.

    Pemain antarabangsa Jerman, Can, telah mendapatkan satu hantaran pendek daripada Divock Origi dan dibiarkan mendapat ruang bagi melepaskan sepakan kaki kanan dari jarak 25 ela yang telah menewaskan penjaga gawang Burnley, Tom Heaton.

    Kemenangan itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga keempat, namun slot terakhir Liga Juara-Juara itu masih terbuka untuk dirampas oleh kelab Liga Perdana yang lain.

    Pemain sayap Liverpool, Georginio Wijnaldum ketika menjaringkan gol penyamaan bagi pasukannya menentang Burnley di Anfield. Perlawanan berkesudahan Liverpool menang 2-1. – AP
    Pemain sayap Liverpool, Georginio Wijnaldum ketika menjaringkan gol penyamaan bagi pasukannya menentang Burnley di Anfield. Perlawanan berkesudahan Liverpool menang 2-1. – AP

    Kemenangan itu juga telah melonjakkan mereka kepada satu mata di belakang pasukan di tangga ketiga, Manchester City, tetapi apa yang penting adalah Liverpool bergerak lima mata daripada pasukan di tangga kelima, Arsenal.

    “Persembahan itu sudah cukup baik untuk menang, tetapi keputusan ini penting bagi kami, ia satu perlawanan sukar yang kami menangi,” kata pengurus Liverpool.

    Sementara itu, bos Burnley, Sean Dyche hampa dengan nasib yang tidak menyebelahi pasukannya.

    “Ia sukar untuk diterima, kerana semua orang telah memberikan segala-galanya dan kami mendahului dengan gol penting,” katanya.

    “Kami hanya perlu sedikit nasib di sepanjang perlawanan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda