Thursday, February 13, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wilder mudah KO Stiverne

    NEW YORK, 5 Nov – Juara yang belum tewas, Deontay Wilder menghancurkan Barmane Stiverne dengan menumbangkan pesaingnya itu, ketika pusingan berbaki satu saat lagi untuk mengekalkan kejuaraan heavyweight WBC miliknya.

    Wilder, 32, menghasilkan persembahan bertenaga apabila dia menumbangkan Stiverne sebanyak dua kali dalam pusingan pembukaan sebelum menyudahkannya dengan siri tumbukan di kepala, menyaksikan pesaingnya itu rebah ke tali.

    Stoverne kemudian rebah ke kanvas dan tidak bergerak buat seketika sebelum dibantu bangun dan duduk di kerusi di mana dia diperiksa oleh doktor di arena Barclays Center di New York.

    “Saya tahu saya yang terbaik. Saya hanya mahu membuktikan bahawa saya yang terbaik,” kata Wilder, yang mempunyai rekod 39 menang dan 38 ‘knockout’.

    “Saya mempunyai jiwa singa. Saya adalah raja.”

    Pengadil menarik Wilder (kiri) menjauhi Stiverne dalam pertarungan merebut kejuaraan dunia heavyweight WBC di New York. – AP

    Wilder menjadi pilihan utama untuk mempertahankan gelaran heavyweight kali keenam.

    Ia adalah kemenangan keduanya ke atas bekas juara Stiverne, 39, yang memasuki pertarungan itu dengan 15 kg lebih berat dan hanya bertarung sekali sejak tewas gelaran itu kepada Wilder pada Januari 2015.

    Dia telah memenangi pertarungan pertamanya dengan keputusan sebulat suara dan perlawanan kedua ini lebih mudah.

    Dalam pertarungan ini, dia menyerang Stiverne dengan pusingan pembukaan berbaki 45 saat.

    Hanya 20 saat kemudian, Wilder menumbangkan Stiverne ke kanvas selepas satu tumbukan kanan yang mendarat seperti tukul di kepala.

    Kemenangan milik Wilder apabila dia terus menyerang Stiverne dengan gabungan empat tumbukan yang menghantar Stiverne ke tali gelanggang dan pengadil Arthur Mercante cuba masuk campur dan menghentikannya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda