LOS ANGELES, 2 Dis – Deontay Wilder mengekalkan gelaran heavyweight WBC hari ini selepas pertarungan berakhir dengan keputusan seri ketika menentang Tyson Fury dari Britain hari ini.
Wilder menjatuhkan Fury sebanyak dua kali termasuk knockdown pada pusingan terakhir tetapi gagal untuk memperoleh kemenangan knockout seperti yang dijanjikan.
Ketiga-tiga pengadil perlawanan telah memberikan keputusan yang berbeza, seorang pengadil memberikan keputusan 115-111 berpihak kepada Wilder sementara seorang lagi 114-112 berpihak kepada Fury dan pengadil ketiga dengan keputusan 113-113.
“Saya rasa dengan dua knockdown itu, saya sudah setentunya memenangi pertarungan ini,” kata Wilder. “Kami bertarung habis-habisan, kami adalah pejuang tetapi dengan dua jatuh itu, saya rasa saya memenangi pertarungan itu.”
Wilder, yang kekal dengan rekod tanpa kalah selepas 41 pertarungan, dengan segera mahukan pertarungan semula.

“Saya akan teruja jika ia akan menjadi perlawanan saya seterusnya,” menurut Wilder.
“Mari kita berikan sesuatu kepada peminat.
“Ia merupakan pertarungan yang hebat dan mari kita lakukan sekali lagi.”
Sementara itu, Fury mengakui dia sudah cuba sedaya upaya untuk menang.
“Saya berada di tempat lawan, dua kali terjatuh tetapi saya percaya saya memenangi pertarungan itu,” kata Fury.
“Dia mempunyai tumbukan yang padu dan saya mampu mengelaknya.
“Seluruh dunia tahu saya menang pertarungan ini.”
Fury juga berharap untuk pertarungan sekali lagi.
“Seratus peratus kami akan mengadakan perlawanan ulangan,” kata Fury.
“Kami merupakan petinju yang hebat. Saya dan dia merupakan petinju heavyweight terbaik di planet ini.” – AFP