Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Master Chef Indonesia, William Wongso akan berada di Negara Brunei Darussalam bagi merasmikan dan memeriahkan lagi Festival Makanan Indonesia Sempena Festival Disember Brunei pada 6 dan 7 Disember 2017 depan anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Hotel Antarabangsa Rizqun Brunei, bertempat di tingkat 4 hotel berkenaan.
Semasa berada di negara ini, William Wongso akan mempamerkan masakan-masakan Indonesia dengan mengadakan Bengkel Masakan Indonesia pada 6 Disember dan pada 7 Disember sesi perjumpaan bersama peminat akan diadakan di Rizqun Coffee House.
Antara masakan-masakan yang akan diperkenalkan adalah masakan Jeruk Buah Jakarta, Daging Rendang Padang dan Ayam Tangkap Aceh. Ini merupakan antara makanan pilihan William Wongso yang mempamerkan cita rasa sebenar Indonesia.
Semasa sidang media yang berlangsung di Rizqun Coffee House, Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Besar Republik Indonesia, Arko Hananto Budiadi menjelaskan, Indonesia mempunyai lebih 400 etnik dan setiap etnik mempunyai masakan mereka tersendiri dan Festival Makanan Indonesia itu akan menawarkan beberapa menu Indonesia yang sangat unik dan mungkin masih belum ada di Negara Brunei Darussalam.

“Kami berharap dengan pengenalan makan Indonesia ini, ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik antara Brunei dan Indonesia melalui makanan Indonesia,” tambah beliau.
Katanya lagi, walaupun kebanyakan makanan Indonesia terkenal di Brunei Darussalam, akan tetapi masih banyak lagi masakan Indonesia perlu diperkenalkan. Demonstrasi masakan William Wongso yang akan bermula pukul 7 malam itu akan mengetengahkan masakan Indonesia dan selain demo itu, William Wongso juga akan memberikan nasihat serta tunjuk ajar tatacara memasak bagi mereka yang berminat.
Orang ramai yang ingin menghadiri bengkel demonstrasi masakan berkenaan bolehlah menghubungi Hotel Rizqun untuk menempah tempat duduk.