LONDON, 29 MEI – Williams mendedahkan hari ini bahawa mereka menimbangkan untuk menjual pasukan Formula Satu (F1) selepas kemerosotan berjuta-juta pound dalam keputusan kewangan syarikat.
Kumpulan William Grand Prix Holdings melaporkan kerugian berjumlah 13 juta pound untuk tahun berakhir 2019.
Selepas mencatat keuntungan berjumlah 12.9 juta pound, Williams memberikan respons dengan mencari pelaburan baharu.
Saham minoriti atau majoriti akan ditawarkan kepada pelabur, selain opsyen untuk pembelian saham majoriti.
“Lembaga WGPH percaya kajian strategik dan proses penjualan formal merupakan tindakan yang betul dan bijak dilakukan demi mengambil masa untuk menimbangkan opsyen penuh dan menempatkan pasukan F1 dalam kedudukan terbaik mungkin pada masa depan,” kata kenyataan Williams.
“Sebagai sebahagian daripada haluan strategik baharu ini, lembaga WGPH sedang mengkaji kesemua opsyen strategik yang ditawarkan kepada syarikat.”
Pasukan berpangkalan di Britain itu masih belum menerima sebarang pendekatan formal tetapi mengesahkan ‘perbincangan awal’ telah diadakan dengan pelabur berpotensi.
Meskipun perubahan pendekatan, syarikat berkata ia mempunyai wang dan niat untuk merampas balik kedudukannya apabila F1 kembali selepas krisis koronavirus.
“Mana-mana pihak berminat untuk mengambil bahagian dalam proses penjualan formal diwajibkan mencapai perjanjian dengan WGPH mengenai syarat-syarat yang memuaskan lembaga WGPH,” menurut kenyataan.
“Sementara syarikat itu menghadapi beberapa cabaran, Williams kini mempunyai dana cukup dan bersedia untuk meneruskan perlumbaan apabila kalendar membenarkan pada 2020.” – AFP