Wednesday, March 19, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wimbledon: Djokovic tarik diri

    LONDON, 13 Julai – Novak Djokovic mengakui terpaksa berehat panjang selepas kecederaan siku memaksanya menarik diri daripada perlawanan suku akhir Kejohanan Wimbledon berdepan Tomas Berdych.

    Masalah yang dihadapi pemain itu selama 12 bulan sebelum ini, kembali menghantuinya semalam apabila kecederaan siku kanan menghalangnya memenangi Wimbledon buat kali keempat.

    Pemain berusia 30 tahun dari Serbia itu ketinggalan 7-6 (7/2), 2-0 dan tiada pilihan lain selain menarik diri apabila kesakitan akibat kecederaan yang membelenggunya sejak lebih setahun semakin teruk.

    “Ada kemungkinan mereka akan membuat pembedahan, tetapi saya rasa itu tidak bagus,” kata Djokovic kepada media Serbia.

    “Untuk dibedah atau meracun diri saya dengan pil. Kedua-dua pilihan tidak bagus.

    Novak Djokovic ketika menerima rawatan pada siku kanannya dalam aksi perseorangan lelaki Wimbledon menentang Tomas Berdych. Djokovic terpaksa menarik diri disebabkan kecederaan yang dialaminya. – AP
    Novak Djokovic ketika menerima rawatan pada siku kanannya dalam aksi perseorangan lelaki Wimbledon menentang Tomas Berdych. Djokovic terpaksa menarik diri disebabkan kecederaan yang dialaminya. – AP

    “Penyelesaian logik ialah berehat dan cuti panjang. Mungkin rehat lebih lama diperlukan, bukan hanya kerana kecederaan itu tetapi juga untuk minda saya.

    “Sepanjang kerjaya, saya sudah mengikuti jadual sekolah, saya tidak pernah ditegur, mungkin saya akan berehat pada semester seterusnya.”

    Djokovic yang bergelut dengan masalah bahu, sudah menemui pakar perubatan mengenai masalah siku sebelum Wimbledon dan diberitahu pembedahan adalah satu pilihan.

    Ditanya apa akan dilakukan untuk menyelesaikan masalah kecederaan berpanjangan itu, Djokovic mengakui dia tidak menolak kemungkinan melakukan pembedahan.

    “Pakar dan saya sudah berbincang. Mereka masih belum berapa jelas, mereka juga bercakap mengenai pembedahan, mencadangkan beberapa pilihan,” katanya.

    “Tiada siapa begitu jelas apa yang perlu dilakukan. Selagi ia datang dan pergi, ia tidak mengapa.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda