Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    WIN memperkasa wanita

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Sebuah organisasi yang baru ditubuhkan, Women’s Initiatives and Network (WIN) telah melancarkan perkhidmatan mereka pada majlis perasmian yang diadakan di Cultivate Bistro, Bangunan Progresif bagi menandakan permulaan perjalanan mereka.

    Perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengasas dan Pengerusi WIN, Dayang Nurizzatul Izzah binti Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir pada acara berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Hafimi binti Abdul Haadii, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

    Menurut kenyataan yang diberikan, acara pertama mereka, ‘If Women Are Empowered’ adalah forum dan perbincangan terbuka dengan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman dan Dayang Fatin Arifin yang merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan Belia Brunei 2018.

    Kedua-dua ahli panel telah menyentuh mengenai definisi memperkasa wanita dari pandangan mereka dan apa yang boleh dilakukan untuk mengisi jurang dalam isu-isu wanita.

    Sesi bergambar ramai semasa perasmian WIN di Cultivate Bistro, Bangunan Progresif.
    Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty dan Dayang Fatin Arifin ketika mengendalikan forum dan perbincangan terbuka.
    Dayang Nurizzatul Izzah ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada Dayang Amirah Aniyah dan Dayang Sarah.

    Mereka mengongsikan kepentingan perhubungan efektif sama ada dalam kalangan wanita atau lelaki, mengenai perpaduan di antara pertubuhan-pertubuhan lain dari semua peringkat usia, mengenai mengatasi kelemahan dan sebagainya.

    Untuk memeriahkan lagi acara berkenaan, WIN telah menjemput Kertas Hati (Dayang Sarah binti Haji Abdul Mutalif) dan Helmet Kuning (Dayang Amirah Aniyah Aziz) untuk membuat persembahan mengenai memperkasa wanita.

    Kenyataan menjelaskan, WIN mempunyai visi untuk membangunkan penduduk wanita di Brunei yang diperkasakan daripada segi intelektual, fizikal, mental dan rohani supaya mereka cemerlang dalam bidang masing-masing.

    Sementara itu, misinya pula adalah untuk menyediakan sokongan yang diperlukan dalam isu-isu berkaitan wanita bagi memastikan wanita dapat memainkan peranan aktif dalam masyarakat.

    Pendaftaran bagi acara berkenaan dibukakan kepada orang ramai dan telah menerima sambutan yang menggalakkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda