Thursday, September 19, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wings, Search, XPDC bakal gegar festival rock

    Rumah Produksi Merah milik vokalis Wings iaitu Datuk Awie bakal menghimpunkan kumpulan rock tanah air menerusi acara Rock Warrior Music Festival pada 23 dan 24 November depan.

    Bakal menampilkan kumpulan rock terkemuka iaitu Wings, Search (Kid dan Din) serta XPDC, festival ini menjanjikan pengalaman tiada tandingan kepada semua peminat genre berkenaan.

    Menurut Awie, penganjuran festival ini adalah salah satu usahanya untuk menghidupkan kembali era kegemilangan muzik rock dengan menyatukan generasi lama dan baharu. Malah dia turut komited memberi peluang kepada band rock baharu untuk menonjolkan bakal dan karya mereka.

    “Saya percaya festival ini akan menjadi titik tengah yang akan mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, sama ada mereka adalah golongan lama atau golongan baharu yang baru. Tidak hanya itu, Rock Warrior Music Festival sebagai medan yang amat sesuai untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri muzik rock.

    “Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan rock baharu untuk beraksi, mengagumkan penonton, serta memperkenalkan lagu dan karya original mereka kepada dunia,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar.

    Selain itu, Awie turut menyifatkan festival ini sebagai salah satu bentuk penghargaan kepada peminat setia muzik rock di Malaysia.

    Rock Warrior Music Festival adalah untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini. Kami mahu menghidupkan semula semangat rock, dan membawa pengalaman yang mengasyikkan kepada semua yang hadir,” jelasnya.

    Acara ini bakal berlangsung di KL Base Sungai Besi pada 23 dan 24 November 2024. Tiket dijual pada harga serendah RM150 sehingga RM250 dan boleh didapati menerusi laman web UberTickets sejak 7 September lalu. – Agensi

    Awie berharap konsert ini dapat menghidupkan semula era kegemilangan rock. – mStar

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda