Nama ahli kumpulan Aespa iaitu Winter menjadi bualan hangat apabila muncul spekulasi kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan anggota kumpulan BTS, Jungkook.
Spekulasi itu timbul selepas Jungkook membuka akaun Instagram baharu dengan nama pengguna @mnijungkook, yang kemudiannya diikuti oleh beberapa rakan sepasukannya seperti RM, J-Hope, Jimin, dan V.
Apa yang mencuri perhatian ialah singkatan ‘mni’ dalam nama akaun tersebut yang dikatakan merujuk kepada nama sebenar Winter, iaitu Minjeong, menurut laporan mStar.
Malah, ada juga yang mendakwa nama asal akaun tersebut adalah @imjungkook, hampir sama dengan nama pengguna IG Winter iaitu @imwinter, sekali gus menguatkan lagi andaian kedua-duanya mempunyai hubungan istimewa.
Susulan gosip yang tular itu, akaun IG Winter dibanjiri ribuan komen termasuk komen berbaur kecaman dan tuduhan liar.
Ramai peminat tampil menyuarakan rasa kurang senang dengan sikap segelintir warganet yang terlalu cepat membuat andaian tanpa sebarang bukti kukuh, selain menggesa agar privasi artis dihormati.
Mereka juga bimbang perkara ini boleh memberi kesan terhadap imej dan kesihatan mental artis terlibat.
Bagaimanapun dalam satu sesi siaran langsung bersama RM dan V, Jungkook tampil menjelaskan perkara sebenar.
Menurutnya, ‘mni’ hanyalah singkatan kepada ‘My Name Is Jungkook’ dan tidak membawa sebarang maksud lain atau kaitan dengan Winter.
