Wira Belanda gantung but

THE HAGUE, 13 OGOS – Pemain yang mempunyai kap paling banyak bersama Belanda, Wesley Sneijder mengumumkan persaraannya daripada bola sepak, melabuhkan tirai kerjaya cemerlang selama 17 sebagai pemain bola sepak profesional.

Sneijder, 35, yang bermain sebanyak 134 kali untuk negaranya, membuat pengumuman itu ketika bercakap menerusi siaran YouTube di kelab FC Utrecht selepas membeli petak korporat di stadium mereka.

“Hubungan saya dengan bandar ini sangat besar. Kini saya sudah bersara daripada bola sepak, saya mahu sebuah tempat untuk berkongsi memori saya,” katanya.

Sneijder, yang membuat penampilan antarabangsa pertamanya pada tahun 2003 ketika berusia 19 tahun, berjaya merangkul pingat naib juara Piala Dunia pada tahun 2010 ketika Oranje ditewaskan oleh Sepanyol di final Afrika Selatan.

Persembahannya di kejohanan itu telah menganugerahkannya Bola Perak, kedua terbaik di belakang Diego Forlan dari Uruguay.

Kemuncak kerjaya Sneijder adalah ketika merangkul gelaran trebel bersama Inter Milan kendalian Jose Mourinho. – AFP

Empat tahun kemudian di Brazil, dia menerajui pasukannya ke tempat ketiga selepas tewas menerusi sepakan penalti dalam saingan separuh akhir kepada Argentina. Dia juga disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Euro 2008 meskipun Belanda tersingkir dalam saingan suku akhir di tangan Rusia.

Laluannya ke final 2010 bersama Belanda hadir selepas musim hebatnya dalam bola sepak kelab, di mana pemain itu menerajui Inter Milan menjuarai Serie A, Coppa Italia dan Liga Juara-Juara di bawah kendalian Jose Mourinho.

Seorang graduan akademi Ajax pada 2002, Sneijder memenangi gelaran Eredivisie dan dua Piala Belanda dalam tempoh lima tahunnya bersama pasukan itu sebelum berpindah ke Real Madrid, di mana dia bergandingan dengan Arjen Robben.

Dia memenangi gelaran La Liga pada tahun 2008 sebelum berpindah ke Inter setahun kemudian, memenangi trebel sebelum mengalami masalah kecederaan berpanjangan sehingga menyaksikannya berpindah ke Galatasaray, di mana dia memenangi dua gelaran liga dan tiga Piala Turki dalam tempoh empat tahun.

Dia menamatkan kerjayanya sebagai pemain bola sepak di Qatar bersama kelab Al Gharafa. – AFP