Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Lebih 200 orang telah memeriahkan Wira Fajar, Program Belia Sembahyang Subuh Berjemaah di Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lorong 3 Selatan, Seria, hari ini.
Para peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, pegawai-pegawai kerajaan, persatuan dan pergerakan belia, belia-belia masjid serta penduduk sekitar STKRJ Lorong 3 Selatan Seria.
Program anjuran KKBS dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu juga dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Ia dihasratkan dapat mendidik para belia untuk mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid serta memberikan pendedahan kepada para belia dengan mengisi aktiviti yang bermanfaat terutama dalam mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid-masjid.
Program diisikan dengan sembahyang fardu Subuh berjemaah dan diikuti dengan tazkirah subuh bertajuk ‘Belia dan Keluarga’ yang disampaikan oleh Pegawai Ugama i-Ready, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Muhamad Waqiyuddin Fakhri bin Haji Damit.