Oleh Daniel Lim
BELAIT, 27 NOV – Lebih 200 jemaah terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Teraban, para pegawai kerajaan, persatuan-persatuan belia, belia-belia masjid, sekolah-sekolah serta penduduk sekitar Kampung Sungai Teraban telah menyertai Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di Masjid bagi Tahun 1442H/2020M yang diadakan di masjid kampung berkenaan, di sini, hari ini.
Wira Fajar anjuran Kementerian Kebuda-yaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan belia-belia masjid kali ini dikendalikan oleh Minda Youth Movement (MYM).
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin, serta para pegawai kanan KKBS.
Atur cara dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah diimamkan oleh Imam Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohammad Hilmi bin Yakop, dan diikuti dengan Tazkirah Subuh bertajuk ‘Erti Kesukarelawanan’ oleh Awang Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin.
Antara pengisian tazkirah termasuk kepentingan sukarelawan dalam kehidupan bermasyarakat, sifat dan akhlak yang perlu ditanai dalam diri sukarelawan, peranan agama dalam membina jati diri sukarelawan dan peranan sukarelawan dalam mendukung Wawasan Brunei 2035.
Wira Fajar diselajurkan dengan bacaan Surah Al-Kahfi dan sembahyang Sunat Duha. Majlis diakhiri dengan kempen kebersihan dalam masjid. Wira Fajar merupakan penganjuran kali ketiga dan ianya diadakan di daerah-daerah bagi memberi peluang belia di daerah berkenaan untuk menyertai Wira Fajar.
Antara lain tujuan program ini diadakan adalah untuk mendidik diri para belia untuk mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid serta memberikan pendedahan kepada para belia dengan mengisi aktiviti yang bermanfaat terutama sekali dalam mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid-masjid. Orang ramai terutama belia amatlah dialu-alukan untuk menyertai Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah Di Masjid.

