Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wira serangan tikaman dibenarkan keluar hospital

    LONDON, 16 NOV – Seorang pekerja kereta api British yang digelar sebagai ‘wira’ kerana campur tangan untuk melindungi penumpang semasa serangan tikaman beramai-ramai dua minggu lalu telah dibenarkan keluar dari hospital kelmarin.

    Samir Zitouni, 48, berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami pelbagai kecederaan dalam serangan di sebuah kereta api menuju London pada 1 November.

    “Kami sangat berterima kasih atas sokongan padu daripada orang ramai dan tersentuh dengan semua kata-kata baik mengenai keberanian Sam pada malam serangan itu,” kata keluarganya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Pengangkutan British.

    “Walaupun kami gembira dia sudah pulang, dia masih perlu melalui proses pemulihan yang panjang dan kini kami ingin diberi ruang privasi untuk menjaganya sebagai keluarga.”

    Zitouni antara 10 orang yang cedera dalam serangan itu, yang berlaku berhampiran bandar Peterborough di timur England.

    Polis berkata Zitouni “tidak diragui telah menyelamatkan nyawa orang ramai” dan Menteri Pengangkutan, Heidi Alexander, menyifatkannya sebagai ‘wira’. Pemandu kereta api itu juga menerima pujian kerana membuat pemberhentian kecemasan tidak berjadual di sebuah stesen yang membolehkan penumpang melarikan diri dari kereta api.

    Anthony Williams, 32, telah didakwa dengan 10 pertuduhan cubaan membunuh berhubung insiden itu dan dijadualkan hadir ke mahkamah pada 1 Disember. – AFP

    Pegawai polis dan anggota perkhidmatan kecemasan menggeledah landasan di bawah kereta api LNER Azuma di Stesen Huntingdon, Huntingdon, timur England, pada 1 November 2025, susulan kejadian menikam di atas kereta api. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda