DUBAI, 29 Ogos – Wabak kolera yang telah memusnahkan Yaman telah menurun sejak dua bulan lalu disebabkan respon oleh “wira tempatan yang tidak disanjung,” kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini.
Satu kenyataan UNICEF berkata disebabkan usaha beribu-ribu anggota sukarelawan tempatan yang disokong oleh agensi PBB, jumlah kes baru kolera telah merosot sebanyak satu pertiga sejak akhir Jun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menggelar Yaman “krisis kemanusiaan terbesar di dunia.”
Keruntuhan infrastruktur Yaman selepas perang selama lebih dua tahun di antara kerajaan yang disokong oleh Saudi dan pemberontak Syiah yang disokong oleh Iran yang mengawal ibu negara Sanaa telah membenarkan wabak kolera negara meningkat kepada yang terbesar di dunia.
Pada 14 Ogos, Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata kolera dipercayai telah menjejas lebih daripada 500,000 orang dan membunuh hampir 2,000 di Yaman sejak akhir April.
Menurut UNICEF, lebih separuh daripada kes yang disyaki adalah kanak-kanak.
“Di tengah penderitaan, penduduk biasa Yaman sedang memimpin perjuangan harian menentang penyakit cirit-birit dan kolera yang kini mendatangkan kejayaan,” kata kenyataan UNICEF.
“Usaha kolektif untuk merawat orang sakit dan mempertingkat sistem air dan sanitasi telah membantu memperlahankan penyebaran penyakit,” katanya.
Kira-kira 8,400 orang telah terbunuh dan 48,000 cedera sejak gabungan pimpinan Saudi campur tangan dalam konflik Yaman untuk menyokong kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi. – AFP