Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wira tidak didendang bantu perangi COVID-19

    BANGKOK – Lengkap memakai topi, penutup mulut dan hidung serta ves hitam, Naowarat Yangpu berjalan dari rumah ke rumah di kampungnya di daerah Bang Phae di wilayah Ratchaburi untuk memeriksa suhu badan penduduk kampung.

    Berusia 57 tahun, sukarelawan kesihatan desa itu mengumpulkan maklumat kesihatan harian penduduk dan memantau mereka yang pulang dari wilayah lain, selain memastikan mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

    Berkhidmat sebagai sukarelawan kira-kira 20 tahun lamanya, Naowarat menjadi kumpulan barisan hadapan di kampung, menyalurkan maklumat kesihatan dan panduan kepada penduduk kampung, terutama mereka yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

    “Ketika wabak, kami secara berkala menyalurkan maklumat terkini COVID-19 kepada penduduk kampung dan mengingatkan mereka sentiasa berhati-hati dan mematuhi langkah pencegahan. Kami menerima kerjasama yang baik daripada penduduk kampung.

    “Sebagai sukarelawan kesihatan desa, kami ingin membantu usaha mencegah jangkitan dan menyelamatkan nyawa,” katanya kepada media.

    Ketua Hospital Bang Phae, Kiatisak Nitisetasa, berkata pihak hospital menyediakan latihan asas kesihatan untuk sukarelawan kesihatan desa bagi meningkatkan kecekapan dalam membendung penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat. – Bernama
    Sukarelawan kesihatan desa, Naowarat Yangpu (kiri) memeriksa warga kampung di daerah Bang Phae di wilayah Ratchaburi, Thailand. – Bernama

    Naowarat adalah antara 1.5 juta sukarelawan kesihatan desa Thailand, juga dikenali ‘wira berbaju kelabu’.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan sukarelawan kesihatan desa ini umpama ‘wira tidak didendang” dalam membantu perjuangan melawan COVID-19.

    Thailand negara pertama di luar China yang melaporkan kes COVID-19 pada 13 Januari dan berjaya meratakan lengkung jangkitan. Negara ini mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 188 pada 22 Mac hingga ke sifar kes pada 24 Mei. Setakat ini, Thailand melaporkan lebih 3,100 kes dengan 58 kematian.

    Thailand boleh dikatakan berjaya dalam memerangi COVID-19 kerana lebih 30 hari tidak mencatatkan kes baharu jangkitan tempatan.

    Ditubuhkan pada tahun 1977, Program Sukarelawan Kesihatan Desa merekrut penduduk kampung untuk membantu masyarakat desa dalam memerangi penyakit dan mempromosikan rawatan kesihatan primer, sudah berkembang ke setiap desa.

    Seorang sejarawan di Universiti Srinakharinwirot, Chatichai Muksong, berkata kini terdapat kira-kira 1.5 juta hingga dua juta sukarelawan kesihatan desa di Thailand, membantu meningkatkan keupayaan kesihatan awam negara itu, terutama semasa krisis.

    Beliau berkata pasukan itu dipinggirkan sedangkan selama ini kumpulan itu memainkan peranan penting dalam mengendalikan penyakit berjangkit lain sebelum wabak COVID-19 melanda.

    Menurut Kementerian Kesihatan Awam, rangkaian sukarelawan kesihatan itu membantu mengurangkan jumlah kes HIV/AIDS dari 100,000 pada 1995 menjadi 13,936 pada tahun 2007.

    “Mereka menjadi penghubung antara pihak berkuasa dan masyarakat setempat, kerana penduduk kampung lebih cenderung mendengar dan mempercayai mereka dari kampung yang sama,” katanya.

    Ketua Hospital Bang Phae, Kiatisak Nitisetasa, berkata pihak hospital menyediakan latihan asas kesihatan untuk sukarelawan kesihatan desa bagi meningkatkan kecekapan dalam membendung penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

    “Sukarelawan lebih memahami penduduk tempatan dan menjalin hubungan baik dengan mereka. Ini adalah satu aspek langkah pencegahan yang berkesan,” katanya.

    Meskipun situasi COVID-19 di Thailand semakin baik, Naowarat dan rakannya tetap meneruskan rutin harian mereka, mengunjungi 10 hingga 15 rumah setiap hari bagi memeriksa suhu badan.

    “Virus itu akan kekal bersama kita sehingga ubat atau vaksin dijumpai, kita tidak boleh menghentikan langkah pencegahan…kita mesti mengelak gelombang kedua COVID-19 terjadi,” kata Naowarat. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda