GENEVA, 1 JUN – Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) telah mengadakan undian hari ini untuk memilih Celeste Saulo dari Argentina untuk menjadi pemimpin wanita pertamanya dan memimpin peranan penting WMO secara global dalam menjejaki perubahan iklim.
Saulo, naib presiden WMO yang mengetuai perkhidmatan cuaca Argentina sejak 2014, memenangi undian besar di kongres agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.
“Cita-cita saya adalah untuk memimpin WMO ke arah senario di mana suara semua ahli didengari secara sama rata, mengutamakan mereka yang paling terdedah dan di mana tindakan yang dilakukannya sejajar dengan keperluan dan keutamaan setiap seorang daripada mereka,” jelasnya.
Beliau akan mengambil alih jawatan setiausaha agung yang dijawat oleh Petteri Taalas yang akan keluar pada 1 Januari. Ahli meteorologi Finland itu akan menamatkan penggal maksimum kedua empat tahun beliau.
WMO menghimpunkan usaha antarabangsa dalam memantau gas rumah hijau, paras laut, suhu, pencairan glasier dan penunjuk perubahan iklim yang lain.
Ia bergantung pada satelit dan beribu-ribu stesen cuaca untuk mengukur parameter utama atmosfera, daratan dan lautan. – AFP