Selepas drama Seribu Tahun, pelakon, Azhan Rani mengakui watak Deris dalam drama terbaharu berjudul Wok turut mencabar lakonannya.
Menurut Harian Metro, dalam drama bersiri sebanyak 15 episod terbitan Ini Films Sdn Bhd arahan Eyra Rahman itu, Azhan berganding dengan pelakon Sharifah Sakinah selaku teraju utamanya.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Azhan berkata, Wok adalah nama watak yang dibawakan dengan cemerlang oleh Sakinah dalam drama bersiri itu.
“Selain drama Seribu Tahun yang ditayangkan di televisyen sekarang, drama Wok ini juga buat jantung saya berdegup kencang dan memang berdebar kerana watak Deris sangat sesuatu dalam cerita ini.
“Saya pernah cakap dulu, kali ini, Sakinah memang nampak lain dari lakonannya yang pernah ditonton sebelum ini,” katanya yang dikenali dengan watak Ustaz Madi dalam drama bersiri Nur.
Dalam perkongsiannya lagi, kata Azhan, drama bersiri Wok juga diinspirasikan dari kisah benar dan memaparkan kisah lara seorang perempuan bisu.
“Hasil tangan Eyra antara pengarah yang susah saya mahu lepaskan kalau berpeluang untuk berlakon dalam karyanya.
“Eyra antara pengarah yang sering memaparkan film look dalam drama dan merasalah pelakon ‘muka’ drama seperti saya feeling seperti berlakon dalam filem,” katanya.
Kata Azhan lagi, drama itu juga sudah selesai menjalani penggambaran membabitkan seratus peratus di lokasi Muar, Johor dari Julai hingga September tahun lalu. – Agensi
