LONDON, 27 OGOS – Pemain buruan Newcastle, Jorgen Strand Larsen, muncul wira apabila membantu Wolves meraih kemenangan 3-2 ke atas West Ham dalam saingan Piala Liga semalam.
Sementara itu, Leeds dan Sunderland tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti kepada pasukan dari divisyen lebih rendah.
Wolves dilaporkan telah menolak bidaan bernilai £50 juta daripada The Magpies bagi mendapatkan Larsen, yang dilihat berpotensi menggantikan Alexander Isak. Penyerang Norway itu hanya dimasukkan 17 minit sebelum tamat permainan selepas Vitor Pereira melakukan lapan pertukaran pemain susulan dua kekalahan berturut-turut dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris.
Larsen mempamerkan dua penyudah bertenaga dalam tempoh tiga minit untuk mengubah kedudukan di Molineux, sekali gus menambah tekanan terhadap pengurus West Ham, Graham Potter.
Tomas Soucek dan Lucas Paqueta masing-masing menjaringkan gol buat The Hammers selepas Rodrigo Gomes terlebih dahulu membuka jaringan untuk Wolves. Namun West Ham, yang sudah dibolosi lapan gol dalam dua kekalahan awal Liga Perdana Inggeris, kekal tanpa kemenangan musim ini.
Leeds pula yang membelanjakan hampir £100 juta untuk membawa masuk pemain baharu selepas kembali ke Liga Perdana Inggeris, turut mengalami kekecewaan apabila tersingkir.
Penyokong Sheffield Wednesday pula terus bimbang dengan masa depan kelab berkenaan berikutan masalah pembayaran gaji pemain dan kakitangan yang sering lewat.
Penyokong pasukan tuan rumah digesa supaya tidak hadir ke stadium oleh Badan Penyokong Kelab sebagai tanda protes terhadap pemilik, Dejphon Chansiri. Namun, Sheffield Wednesday yang meraikan kemenangan di Hillsborough selepas Leeds gagal menyempurnakan ketiga-tiga sepakan penalti mereka selepas terikat 1-1. Sunderland turut dimalukan oleh pasukan Liga Satu, Huddersfield, menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1.
Dalam satu lagi perlawanan membabitkan sesama pasukan Liga Perdana Inggeris, Brentford menewaskan Bournemouth 2-0 hasil jaringan Fabio Carvalho dan Igor Thiago.
Burnley pula memerlukan jaringan masa kecederaan daripada Oliver Sonne untuk menundukkan pasukan divisyen dua, Derby County, 2-1. – AFP



