Wood akhiri penantian Burnley, saints ikat Wolves

LONDON, 24 NOV – Burnley menang buat pertama kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini ketika Chris Wood memberikan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace, manakala Southampton terlepas peluang untuk melonjak ke tempat ketiga selepas seri 1-1 di Wolves.

Burnley gagal menang dalam tujuh perlawanan mereka, permulaan buruk dalam sejarah kelab itu.

Skuad kendalian Sean Dyche merupakan pasukan tunggal di EPL yang belum menjaringkan gol di laman sendiri musim ini sehingga penyerang New Zealand, Wood meletakkan mereka di depan pada separuh masa pertama menentang Palace.

Jaringan itu sudah memadai untuk meraih tiga mata buat Burnley, yang berjaya keluar dari zon penyingkiran mengatasi Fulham.

“Kami mencipta dua atau tiga peluang terbaik, kami memanfaatkan satu dan ia agak cemas kerana kami belum mencatat kemenangan pertama. Untuk melaksanakannya adalah cukup baik untuk kami,” kata Dyche.

Aksi Chris Wood ketika menjaringkan gol semasa perlawanan antara Burnley dan Crystal Palace di Stadium Turf Moor di Burnley, semalam. – AP

“Kami mempunyai pasukan yang cukup mencabar. Kami mempunyai permulaan yang sukar namun ia semakin baik.”

Palace tanpa penyerang utama mereka, Wilfried Zaha yang diuji positif COVID-19 dan skuad kendalian Roy Hodgson dilihat terkesan dengan ketiadaan pemain tonggak itu.

Sementara di Molineux, Southampton tampak berada di landasan tepat untuk mencatat kemenangan keempat berturut-turut apabila Theo Walcott meletakkan mereka di depan pada awal separuh masa kedua.

Namun Pedro Neto yang dimasukkan dari bangku simpanan berjaya menyamakan kedudukan ketika pasukan di tangga kelima Southampton meneruskan aksi tanpa kalah dalam tujuh perlawanan terakhir mereka.

“Saya gembira. Ia adalah perlawanan yang sukar, memerlukan taktikal yang tinggi, ia seperti bermain catur. Mereka beraksi 4-3-3, kami tidak menjangkakannya tetapi kami menemui jawapan,” kata pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl. – AFP