AUGUSTA, Amerika Syarikat (AS), 15 April – Tiger Woods melengkapkan kebangkitan epik daripada isu kecederaan dan skandal yang menjejaskan kerjayanya dengan menjulang edisi ke-83 Masters awal pagi, tadi sekali gus meraih gelaran major ke-15 dengan aksi cemerlang pada lima lubang terakhir.
Bintang handalan AS berusia 43 tahun itu yang mengakhiri kemarau kejuaraan major selama 11 tahun, menjalani pembedahan tulang belakang pada 2017 susulan kesakitan belakang yang kronik, menjulang kejuaraan major pertamanya sejak Terbuka AS 2008.
“Saya terlalu teruja dengan apa yang berlaku sebelum ini. Saya tidak boleh berjalan. Tidak boleh tidur. Tidak boleh lakukan apa-apa,” kata Woods.
“Memiliki peluang untuk bangkit semula, yang pastinya ia salah satu kemenangan terbesar pernah saya miliki.”
Menjulang Masters kelima dan yang pertama selepas 2005, mengesahkan kepulangan ke kemuncak kejayaan buat Woods, yang kariernya terjejas teruk akibat skandal seks pada 2009 serta kecederaan lutut dan belakang yang memerlukan tujuh pembedahan.
“Saya gembira dapat bermain kembali. Saya dapat rasakan saya mengawal permainan yang lama dan ia amat berbaloi,” kata Woods selepas kejuaraan berakhir kelmarin. – AFP