MIAMI, 30 Mei – Bintang golf, Tiger Woods didakwa kerana memandu dalam keadaan mabuk oleh polis di Florida semalam, bekas pemain nombor satu dunia itu berdepan dengan masalah terbaru ketika dia bergelut untuk menghidupkan kembali kerjayanya.
Juara utama 14 kali itu menyalahkan penahanannya itu ke atas tindak balas yang bercampur–campur terhadap preskripsi ubat yang diambilnya, menegaskan dalam permohonan maaf kepada peminat–peminat bahawa tidak ada alkohol terlibat dalam insiden itu.
Woods, 41, ditahan oleh polis berhampiran kediamannya di Jupiter, Florida, sekitar 3 pagi (waktu setempat) sebelum pembebasannya lewat semalam selepas didakwa memandu dalam keadaan mabuk.
Gambar polis mengenai Woods menunjukkan mata yang layu dan dengan wajah yang tidak bercukur menjadi tular, menggariskan keadaan kejatuhan yang berterusan terhadap atlet bintang yang pernah terkenal menjalani kehidupan yang bersih, seorang korporat.

“Saya faham dengan keadaan apa yang saya telah lakukan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya bagi tindakan saya,” kata Woods dalam satu kenyataan oleh cawangan media AS, yang menekankan bahawa ‘alkohol tidak terlibat’.
“Apa yang berlaku adalah tindak balas yang tidak dijangka terhadap pengambilan ubat. Saya tidak menyedari ubat-ubatan yang bercampur–campur memberikan kesan kepada saya,” kata Woods.
“Saya mahu memohon maaf kepada keluarga saya, sahabat dan peminat. Saya juga menjangkakan lebih daripada diri saya.”
Berita laman sesawang hiburan TMZ.com sebelumnya memetik sumber penguatkuasa undang–undang sebagai berkata bahawa Woods ditahan selepas dikesan ‘memandu dalam keadaan tidak menentu di sepanjang jalan’. Laman sesawang itu berkata pemain golf itu enggan untuk meniup ke dalam ‘breathalyzer’ (alat pengesan alkohol). – AFP