LOS ANGELES, 12 MAC – Tiger Woods mendedahkan kelmarin bahawa dia telah menjalani pembedahan untuk membaiki tendon Achilles kiri yang koyak, sekali gus menggugat rancangannya untuk kembali ke arena golf dalam satu lagi kecederaan serius yang mengganggu penghujung karier cemerlangnya.
“Ketika saya mula meningkatkan latihan dan sesi latihan di rumah, saya merasakan kesakitan yang tajam di Achilles kiri, yang kemudiannya disahkan koyak,” kata Woods dalam hantaran di platform X.
Woods turut berkongsi komen dari Stucken yang menyatakan bahawa pembedahan berjalan lancar dan beliau menjangkakan pemulihan sepenuhnya.
“Saya kini sudah pulang ke rumah dan akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan dan rehabilitasi. Terima kasih atas sokongan awda semua,” tambahnya.
Woods tidak memberikan tempoh masa tertentu mengenai kepulangannya ke kejohanan, tetapi pemulihan daripada kecederaan Achilles yang koyak lazimnya mengambil masa beberapa bulan. Ini bermakna Woods hampir pasti terlepas kesemua kejohanan utama musim ini, sekiranya tempoh pemulihannya mengikut jangkaan biasa.
Juara 15 kali kejohanan utama itu tidak bertanding sejak Kejohanan Terbuka pada Julai tahun lalu. Selepas menjalani satu lagi pembedahan belakang pada September, dia sempat bermain bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun, Charlie, dalam kejohanan keluarga PNC Championship di Florida pada Disember.
Dia juga telah menyertai liga simulasi dalaman TGL yang dilancarkannya bersama bintang Ireland Utara, Rory McIlroy, tahun ini.
Namun, pemain berusia 49 tahun itu, yang masih terjejas akibat kecederaan kaki serius dalam kemalangan kereta pada 2021, belum bermain dalam kejohanan PGA Tour biasa sejak Genesis Invitational 2024, yang menyaksikannya menarik diri awal akibat sakit. – AFP
