MIAMI, 21 OGOS – Tiger Woods akan mengetuai jawatankuasa pemain baharu, bertujuan untuk menyelia rombakan radikal golf profesional di Amerika Utara, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah PGA, Brian Rolapp, kelmarin.
Bercakap menjelang Kejohanan Jelajah pada akhir musim, Rolapp berkata Woods akan berperanan sebagai pengerusi bagi Jawatankuasa Persaingan Masa Depan yang terdiri daripada sembilan anggota, dengan matlamat mereka merangka ‘model persaingan optimum’ untuk golf.
Rolapp, yang baru-baru ini menyandang jawatan dengan Jelajah PGA selepas dua dekad bersama NFL, berkata jawatankuasa itu diberi tanggungjawab untuk memimpin ‘perubahan ketara’ terhadap model sedia ada sukan itu.
“Tujuan jawatankuasa ini cukup mudah,” kata Rolapp pada sidang media.
“Kami akan merangka model persaingan golf profesional terbaik di dunia demi manfaat peminat Jelajah PGA, pemain dan rakan mereka,” tambahnya.

“Matlamatnya bukan perubahan kecil. Matlamatnya adalah perubahan yang ketara.”
Woods akan menjadi salah seorang daripada enam pemain yang menyertai jawatankuasa itu bersama Patrick Cantlay, Adam Scott, Camilo Villegas, Maverick McNealy dan Keith Mitchell.
Tiga penasihat perniagaan dalam panel termasuk John Henry, pemilik jutawan Kumpulan Sukan Fenway yang memiliki Boston Red Sox dan juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool.
Rolapp berkata jawatankuasa itu akan digerakkan berdasarkan prinsip panduan yang mempromosikan keseimbangan persaingan, mewujudkan lebih banyak kejohanan di mana pemain teratas bertemu antara satu sama lain, serta merangka musim yang mudah diikuti.
“Saya fikir fokusnya adalah untuk mencipta acara yang benar-benar penting dan bagaimana kita melakukannya, jumlah itu akan kita tentukan nanti,” kata Rolapp. “Tetapi itu sudah tentu matlamatnya.
“Bagaimana sebenarnya awda merangka jadual persaingan di mana setiap acara adalah penting, yang dikaitkan dengan pasca musim, tetapi dilakukan dengan cara yang membolehkan pemain golf terbaik berkumpul dan beraksi dengan baik?” kata Rolapp.
“Saya fikir semua itu masih terbuka – dan itulah perkara yang akan kita kaji dengan fikiran terbuka.” – AFP

