MIAMI, 2 OGOS – Tiger Woods menyertai lembaga polisi Jelajah PGA yang baru diperluaskan, seperti yang diumumkan jelajah itu kelmarin, dalam satu langkah yang bertujuan untuk meredakan ketegangan pemain berhubung kerahsiaan dalam perbincangan penggabungan dengan Golf LIV yang dibiayai Arab Saudi.
Juara utama 15 kali itu, yang selama ini menyokong Jelajah PGA dalam perjuangannya menentang Golf LIV, akan memiliki peranan langsung dalam meluluskan sebarang perjanjian akhir dengan Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) itu.
“Saya berbesar hati untuk mewakili pemain Jelajah PGA,” kata Woods dalam satu kenyataan daripada jelajah itu.
“Ini adalah titik penting bagi jelajah, dan para pemain akan melakukan yang terbaik untuk memastikan bahawa sebarang perubahan yang dibuat dalam ope-rasi jelajah adalah demi kebaikan semua pihak berkepentingan jelajah, termasuk para peminat, penaja dan pemain.”
Pesuruhjaya PGA, Jay Monahan, yang dikritik oleh ramai pemain berhubung pengendalian perbincangan Golf LIV sejak dia membuat pengumuman tersebut, berkata perubahan peraturan masa depan akan memerlukan penglibatan dan kelulusan daripada enam pengarah pemain dalam lembaga, termasuk Woods dan Rory McIlroy.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P23-1-AP_03082023.jpg)
Itu memberikan wakil pemain suatu kelebihan dalam lembaga 11 ahli dan kuasa dalam semua keputusan mengenai sebarang persetujuan akhir dengan Arab Saudi.
Penasihat khas kepada pengarah pemain, Colin Neville, akan mengetahui sepenuhnya keadaan perbincangan mengenai ‘rangka kerja perjanjian’ dengan Golf LIV, yang mesti diluluskan oleh lembaga menjelang akhir tahun bagi membolehkan penggabungan kontroversi itu berlaku.
“Para pemain berterima kasih kepada pesuruhjaya Monahan kerana bersetuju untuk menangani kebimbangan kami dan kami berharap untuk duduk bersama beliau bagi membuat keputusan yang tepat untuk masa depan permainan yang kami semua sayangi,” kata Woods.
“Beliau mempunyai sokongan saya untuk bergerak ke hadapan dengan perubahan ini.” – AFP