Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    World Athletics lulus penggunaan ujian swab tentukan jantina atlet

    PARIS, 26 MAC – World Athletics kelmarin mengumumkan bahawa pihaknya telah meluluskan penggunaan ujian swab untuk menentukan sama ada seorang atlet adalah secara biologi seorang wanita.

    Presiden badan induk olahraga dunia, Sebastian Coe, berkata ujian yang diluluskan oleh Majlis World Athletics itu merupakan langkah ‘amat penting’ dalam melindungi kategori wanita dalam sukan.

    “Ia penting untuk dilakukan kerana ini selari dengan apa yang telah kita perkatakan sebelum ini, terutamanya mengenai bukan sekadar bercakap tentang integriti sukan wanita tetapi juga menjamin kewujudannya,” kata Coe dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis yang berlangsung selama dua hari di Nanjing, China, susulan Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan.

    “Kami merasakan ini adalah satu cara penting untuk memberikan keyakinan dan memastikan fokus mutlak terhadap integriti pertandingan,” tambahnya.

    World Athletics belum menetapkan tarikh rasmi untuk pengenalan ujian ini, namun ia dijangka dilaksanakan semasa Kejohanan Dunia di luar dewan yang akan berlangsung di Tokyo pada September ini.

    Sebastian Coe, bercakap semasa sidang media selepas pembentangan di hadapan ahli IOC yang lain di Lausanne, Switzerland, pada 30 Januari 2025. – AP

    Coe berkata keputusan untuk memperkenalkan ujian swab ini dibuat selepas rundingan menyeluruh mengenai cadangan tersebut.

    “Majoriti pandangan yang kami terima menyokong sepenuhnya langkah ini,” katanya, sambil menegaskan bahawa ujian swab tidak dianggap terlalu mengganggu privasi atlet.

    Beliau yakin dasar ini boleh dipertahankan jika dicabar secara undang-undang tetapi mengakui bahawa cabaran sebegini tidak dapat dielakkan.

    “Saya tidak akan mengambil langkah ini untuk melindungi kategori wanita dalam sukan jika saya tidak bersedia untuk menghadapi cabaran secara langsung.

    “Oleh itu, kami akan mempertahankan kategori wanita dengan tegas dan melakukan apa sahaja yang diperlukan. Kami bukan sekadar bercakap mengenainya,” tegas Coe. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda