REYKJAVIK, 29 Mac – Syarikat penerbangan tambang murah Iceland WOW Air berkata ia telah menghentikan operasi dan membatalkan semua penerbangan semalam, menyebabkan beribu-ribu penumpang terkandas dalam krisis terbaru industri penerbangan tambang murah.
Penutupan WOW Air, yang membawa lebih satu pertiga daripada penumpang yang berkunjung ke Iceland, berlaku selepas rundingan pembelian dengan pesaing Icelandair menemui kegagalan pada awal minggu ini.
“Semua penerbangan WOW Air telahpun dibatalkan. Penumpang dinasihatkan supaya memeriksa penerbangan yang ada dengan syarikat penerbangan lain,” kata syarikat penerbangan dalam satu kenyataan.
“Beberapa syarikat penerbangan mungkin menawarkan penerbangan pada harga lebih rendah, digelar tambang menyelamat, memandangkan keadaan yang dihadapi. Maklumat mengenai penerbangan berkenaan akan disiarkan, apabila ia sudah ada.”
Kerajaan Iceland berkata ia menganggarkan 4,000 penumpang terkandas, termasuk kira-kira 1,300 yang dalam transit buat masa sekarang.
Di lapangan terbang Rejkjavik, beratus penumpang ditinggalkan tanpa kapal terbang untuk dinaiki apabila 30 penerbangan WOW Air ke Paris, New York dan Montreal dibatalkan.
Dua orang pelancong warga Portugis, Cristiana dan Nuno Barrocas, berada di Iceland sebagai sebahagian daripada lawatan mengelilingi dunia dan bergegas ke lapangan terbang setelah mendengar berita tersebut.
“Impian kami adalah mengelilingi dunia tetapi pada awal pengembaraan kami ternyata lebih teruk daripada jangkaan,” beritahu pasangan itu kepada AFP selepas penerbangan mereka dari Copenhagen ke Rejkjavik ditangguhkan pada Rabu.
Seorang pelajar tukaran universiti Kanada berusia 28 tahun di Belgium, Charles Ouellet, dijangka terbang pulang ke Montreal dengan penerbangan WOW menerusi Rejkjavik pada 3 April. – AFP
