Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wozniacki raih gelaran terbesar

    SINGAPURA, 30 Okt – Bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki menamatkan penantian kemenangan ke atas Venus Williams dengan penuh gaya ketika menjulang trofi Pusingan Akhir WTA buat julung kali, sebentar tadi.

    Bintang Denmark itu melakar kemenangan sulungnya daripada tujuh rekod pertemuan dengan Venus dalam perlawanan selama 89 minit yang menyaksikan dia menang 6-4, 6-4 di Stadium Tertutup Singapura.

    Wozniacki tampak seakan goyah selepas Venus, pemain berusia 39 tahun yang juga finalis tertua kejohanan, bangkit daripada ketinggalan 0-5 pada set kedua.

    Namun dia berjaya menenangkan diri untuk menjamin kemenangan sebelum membaling raketnya ke udara dan meletakkan tapak tangannya di muka yang seakan menunjukkan tanda tidak percaya.

    Caroline Wozniacki dari Denmark menjulang trofi selepas berjaya menewaskan Venus Williams dari AS semasa kejohanan tenis WTA di Singapura pada 29 Oktober 2017. – AFP

    “Saya amat gembira kerana Berjaya meraih kemenangan,” kata Wozniacki.

    “Lapan adalah nombor bertuah saya. Sekiranya saya menewaskannya (Venus) sekali dalam karier saya, ia pastinya hari ini. Kemenangan ini sangat manis, saya amat gembira ketika ini.”

    Wozniacki dilihat berada di tahap prestasi terbaiknya di Singapura, menewaskan Elina Svitolina dan Simona Halep pada peringkat kumpulan dan Karolina Pliskova pada separuh akhir.

    Sebelum itu, beregu nombor tiga dunia, Timea Babos-Andrea Hlavackova muncul juara beregu Pusingan Akhir WTA buat kali pertama selepas menang 4-6, 6-4, 10-5 ke atas Kiki Bertens-Johanna Larsson. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda