Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    WSASEAN 2025: Kontinjen negara bakal bertanding 13 bidang kemahiran

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Pertandingan WorldSkills ASEAN bukan sekadar menguji kemahiran teknikal tetapi ia merupakan pentas untuk membuktikan ketangkasan, ketabahan, disiplin dan daya inovasi anak-anak muda kita.

    “Inilah medan di mana Brunei berdiri setaraf dengan yang terbaik di rantau ini,” tekan Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam kata alu-aluannya di Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontijen Negara ke Pertandingan WorldSkills ASEAN Manila 2025 (WSASEAN 2025) yang berlangsung di Restoran Latihan Longhouse, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada ketua kontinjen ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Dr Haji Mohd Zamri menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis berkenaan.

    Dr Haji Mohd Zamri menyatakan kontinjen negara akan bertanding dalam 13 bidang kemahiran.

    Beliau turut mengingatkan kepada para peserta bahawa setiap langkah mereka di pertandingan itu merupakan langkah Brunei di mana setiap usaha dan setiap titik peluh adalah untuk mengharumkan nama negara.

    “Pulanglah bukan hanya dengan pingat, tetapi dengan pengalaman yang mengubah hidup dan kisah kejayaan yang menjadi inspirasi generasi akan datang.”

    Pada majlis berkenaan, Dr Haji Azman menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkembangan), IBTE, Dayang Farhana binti Haji Awang Nurzainah selaku Ketua Kontinjen.

    Dr Haji Azman (tengah) menyerahkan bendera negara kepada, Dayang Farhana.

    WSASEAN 2025 akan berlangsung di World Trade Centre Metro Manila, Filipina pada 26 hingga 28 Ogos.

    Pertandingan itu merupakan acara kecemerlangan kemahiran pendidikan vokasional terbesar di rantau ASEAN, mengetengahkan standard industri global serta mempromosikan latihan dan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) di peringkat antarabangsa.

    Pertandingan itu bermatlamat untuk memberikan inspirasi kepada golongan belia untuk terus meningkatkan kemahiran, menyesuaikan diri kepada teknologi masa kini dan menyumbang kepada daya saing negara dalam menghadapi Revolusi Industri Keempat.

    Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam diwakili oleh para peserta daripada IBTE dan Politeknik Brunei yang bertandingan dalam 13 bidang kemahiran iaitu Sekuriti Siber, Perkabelan Rangkaian Maklumat, Penyelesaian IT untuk Perniagaan, Elektronik, Integrasi Sistem CoBot, Penyejukan dan Penyaman Udara, Memasak, Perkhidmatan Restoran, Teknologi Rekaan Grafik, Pentadbiran Sistem Rangkaian IT, Teknologi Sesawang serta Kejuruteraan Mekanikal CAD.

    Dr Haji Azman menghadiri majlis penyerahan bendera negara di Restoran Latihan Longhouse, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam adalah selaras dengan tiga matlamat kebangsaan utama iaitu untuk mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat dengan menggalakkan individu untuk terus meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan mereka; memupuk kolaborasi antarabangsa dengan membina kerjasama menerusi pertukaran amalan terbaik dan pendekatan latihan inovatif; serta mengetengahkan kecemerlangan TVET dengan mengetengahkan nilai kemahiran teknikal dalam memacu kejayaan kerjaya.

    Menerusi pertandingan itu, kontinjen Brunei berhasrat untuk mengongsi kepakaran, mempamerkan prestasi yang luar biasa serta terlibat dalam pojek kolaboratif dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk memajukan pembangunan kemahiran di seluruh rantau.

    Dr Haji Azman bergambar ramai bersama para kontinjen negara.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda