ABU DHABI, 26 FEB – Ketua pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala, kelmarin melancarkan dana AS$50 juta untuk membantu usahawan wanita di negara membangun mengeksport lebih banyak menggunakan peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital.
Pengumuman itu dibuat menjelang persidangan menteri ke-13 WTO yang dibuka pada 29 Februari di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Okonjo-Iweala, bercakap bersama Menteri Negara bagi Perdagangan Luar UAE, Thani al-Zeyoudi, berkata inisiatif itu ‘merangkumi komitmen kolektif untuk memperkasakan wanita’.
“Kita memerlukan penyelesaian yang dapat merangsang atau memacu untuk menangani isu pembiayaan yang dihadapi oleh wanita,” tambahnya.
Dana itu akan membantu perniagaan yang dikendalikan oleh wanita di negara membangun untuk menerima pakai teknologi digital dan meningkatkan kehadiran dalam talian mereka.
Zeyoudi berkata negaranya akan menyumbang AS$5 juta kepada dana itu, sambil menambah, “inisiatif ini membolehkan kita meraikan sumbangan tidak ternilai usahawan wanita dan perniagaan yang diterajui wanita di seluruh dunia serta mengiktiraf peranan penting yang mereka mainkan dalam memacu pertumbuhan ekonomi”.
“Walaupun wanita adalah separuh daripada penduduk dunia, mereka hanya menyumbang 37 peratus kepada KDNK global,” katanya.
Turut hadir pada pengumuman itu ialah Menteri Perdagangan Arab Saudi, Majid al-Kasabi, yang menyebutnya sebagai ‘pencapaian’ dan berkata negaranya ‘berdedikasi’ untuk menyokong pemerkasaan wanita.
Okonjo-Iweala berkata dalam pertemuan dengan usahawan wanita, ‘perkataan yang sering kali mereka ulangi adalah keperluan pembiayaan yang mencukupi bagi meningkatkan perniagaan mereka dan memanfaatkan peluang besar perdagangan global’. – AFP