GENEVA, 8 OKT – Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kelmarin menaikkan unjuran pertumbuhan perdagangan barangan global bagi 2025 kepada 2.4 peratus, meningkat daripada 0.9 peratus yang diunjurkan pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, unjuran untuk 2026 diturunkan kepada 0.5 peratus berbanding 1.8 peratus sebelum ini. Menurut laporan Global Trade Outlook and Statistics terkini WTO, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dijangka berkembang sebanyak 2.7 peratus pada 2025 dan 2.6 peratus diunjurkan pada 2026.
Laporan itu menyatakan yang jumlah perdagangan barangan dunia, yang diukur berdasarkan purata eksport dan import, meningkat sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama tahun ini.
WTO menyifatkan prestasi kukuh itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pembelian import secara awal di Amerika Utara menjelang kenaikan tarif Amerika Syarikat, penurunan inflasi serta dasar fiskal yang menyokong pertumbuhan kukuh di pasaran negara membangun selain lonjakan dalam perdagangan barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI). – Bernama


