Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    WTO tolak produk HK dilabel ‘Buatan China’

    GENEVA, 22 DIS – Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) semalam memutuskan bahawa Amerika Syarikat (AS) melanggar undang-undang perdagangan antarabangsa dengan mewajibkan produk Hong Kong dilabel sebagai ‘Buatan China’.

    Keperluan penandaan asal AS itu melanggar obligasi negara mengikut peraturan badan perdagangan itu, kata panel pertikaian WTO yang menolak hujah Washington bahawa kepentingan keselamatan negaranya membenarkan pelabelan sedemikian, lapor Xinhua.

    Panel itu berkata ia bukan ‘kecemasan dalam hubungan antarabangsa’ dan peraturan pelabelan AS mendiskriminasi produk yang dibuat di Hong Kong.

    Pada 11 Ogos 2020, AS mensyaratkan produk asal Hong Kong yang dieksport ke AS perlu dilabelkan sebagai ‘Buatan China’.

    Buat masa ini, produk eksport berasal dari Hong Kong dilabelkan sebagai ‘Hong Kong’ memandangkan Hong Kong adalah ahli WTO dan menikmati status istimewa sebagai wilayah kastam yang berasingan di bawah ‘satu negara, dua sistem’.

    Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) menyambut baik keputusan itu.

    Keputusan itu sekali lagi mengesahkan bahawa AS telah mengetepikan peraturan perdagangan antarabangsa, cuba untuk menetapkan syarat yang mendiskriminasi dan tidak adil secara unilateral, menindas produk dan perusahaan Hong Kong secara tidak munasabah dan mempolitikkan isu ekonomi dan perdagangan, kata Setiausaha Pembangunan Perdagangan dan Ekonomi kerajaan HKSAR, Algernon Yau dalam satu kenyataan. – Bernama

    Seorang pekerja memeriksa tempahan produk di sebuah kedai yang menjual pakaian buatan Hong Kong di Hong Kong, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda