Wu Chun sumbang 1,000 set PPE

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Kementerian Kesihatan telah menerima sebanyak 1,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) gred perubatan yang bernilai $20,000 daripada pengarah urusan Fitness Zone dan selebriti Brunei, Wu Chun sebagai tanggungjawab sosial korporatnya dalam sama-sama menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada 4 Oktober lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, sumbangan itu juga merupakan salah satu inisiatif dermawan yang dilakukan sempena ulang tahunnya pada setiap Oktober.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa sumbangan PPE berkenaan termasuk pelindung muka, penutup but dan sut perlindungan bagi kegunaan para petugas barisan hadapan kesihatan di Kementerian Kesihatan sebanyak 800 set, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) sebanyak 100 set dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) sebanyak 100 set.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Wu Chun kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

Wu Chun dipetik menyampaikan perasaan amat berbesar hati diberikan peluang untuk menyokong petugas-petugas kesihatan Brunei yang merupakan wira di barisan hadapan menentang COVID-19 melalui sumbangan PPE berkenaan.

Beliau menambah bahawa sumbangan itu adalah sebagai tanda ulang tahun serta diharap menjadi tanda penghargaan kepada keberanian para petugas barisan hadapan kesihatan yang komited dalam perkhidmatan mereka.

Wu Chun menyampaikan sumbangan 1,000 set PPE kepada Haji Maswadi pada 4 Oktober lalu. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan